Tuesday, November 23, 2010

Sebelas.

Tinggal satu sebelum sebelas. Selepas hampir tamat sebelas.

Dan seperti biasa banyak janji sepuloh belum sempurna. Dan mula merangka janji baru. Kalau sempat. Kalau diizinkan. Terlalu banyak yang dihutangi belum dilangsaikan. Yang diidam belum tertuntas. Janji belum ditunaikan. Sedang janji pasti semakin hampir.

Masih banyak yang rasa termampu untuk dipikul. semakin banyak disanggupi. Sedang pundak kecil semakin sarat dengan yang dibebani dan yang membebani. Hari semakin suntuk dan jarak masa semakin singkat. Kudrat semakin menipis.

Tuhan. Izinkan aku.

Monday, October 25, 2010

Terima Kasih.

Terima kasih. Atas segala nikmat. Hampir setengah abad.

Terima kasih atas segala kurnia. Dan aku telah lama berhenti menghitung. Kerana aku tahu, tak mungkin akan ku ganti satu persatu..

Terima kasih.

Tuesday, October 05, 2010

Janji

Terlalu banyak janji. Janji kita. Janji orang pada kita. Dan akhirnya kita kadang-kadang terbuai oleh janji kosong.

Janji adalah hutang. Dan membayar hutang adalah amat berat. Bagi kita insan yang kerdil ini.
Dan janji kita kepada tuhan amat banyak. Terlalu banyak.

Dan akhirnya bila sampai janji tuhan, terlerailah semua janji manusia..

Tuesday, September 21, 2010

Kejar

Dan syawal sepertiga. Dan kita bangkit semula. Setelah melepas lelah.

Untuk terus mengejar dunia. Hahahaa..
Amat penat mengejar dunia, dan dunia kadang-kadang meninggalkan kita. Kita? Pasti meninggalkan dunia.

Bukan terlalu duniawi. Tapi siapa nak pandang kita kalau tiada apa-apa.

Dan kita akan ketinggalan. Jika tidak bangkit sama. Mengejar dunia.

Hah penat. Sangat penat........

Thursday, September 16, 2010

Al-Fatihah 2

sms yang diterima di pagi 2 Syawal.

"Separuh jiwaku mati bersama dia. aku rasa tak berdaya utk meneruskan kehidupan. Tapi aku kenan kuat demi adik arwah.."

Hatiku luluh.

Al Fatihah utk arwah. Dan Facebook arwah dipenuhi dgn beratus komen.

Kamu semua sayang dia. Allah s.w.t lebih sayangkan dia.
Tenanglah kamu disana..

Wednesday, September 08, 2010

Al Fatihah

Seperti Karina dalam janji Kekasih, ayah dan ibunya berpisah. Oleh kerana orang ketiga.. dan sepatutnya 28 ramadhan dia akan berangkat untuk berhari raya bersama ibunya.

27 ramadhan dia iftar terakhir bersama bapanya. sebelum berangkat ke tempat ibunya..diluar negara. ibu pergi membawa hati yg luka. Selepas iftar dengan bapanya, dia terus pulang ke rumah utk berkemas...tetapi menemui kecelakaan jalan raya. Dan Allah lebih sayang padanya dan menjemput beliau kembali ke Rahmatnya.

Dia masih muda...baru 17 tahun...dan pasti kini dia tenang disana disisiNya.

Semuga Allah mencucuri rahmat keatas rohnya. Walaupun saya tidak kenal beliau secara rapat, pagi ini sewaktu menziarahi, airmata saya amat murah...

Sahabat...jagalah perkahwinan kamu...supaya anak-anak tidak terpaksa sentiasa memilih.

Monday, September 06, 2010

Masih

bila tiba masaku'
kumau tak seorang kan merayu
tidak juga kau...
                         Chairil Anwar.


dan aku masih mencari makna dalam kata..
bagai mencari keremajaan yang hilang
atau bagai segera mau pulang...

UPM 84

Thursday, September 02, 2010

Nanti.

Ya. aku masih menanti. akan apa yang dijanjikan.
bukan kecewa. tetapi aku mula belajar. makna pasrah. makna berserah.

Bukan zuhud. walau sebenarnya aku amat ingin. biar ia benarlah zuhud. kalaulah boleh..

Sunday, August 29, 2010

Dua Puloh

Qunut Sheikh ArRummi benar-benar menyentuh hati.
Walau hanya sebahagian maknanya yang aku fahami. Dan airmata kembali membasahi janggutku. Dan seperti semalam pakcik disebelahku merenung aku dengan seribu persoalan. Dan mungkin pertanyaan. Dosa apa yang terlalu berat telah aku lakukan.

Malam ini malam 20 Ramadhan. Dan aku masih bertanya diri adakah rayuanku mendapt perhatianNya? Atau sekadar dicatat sebagai catatan biasa yang tidak dapat dipertimbangkan?

Yang Agung, sesungguhnya aku merasa terlalu kerdil..

Friday, August 27, 2010

Esok sajelah.

Esok sajelah kita fikirkan. Bagaimana nak menghalang terjadinya differentiation paradox. Esok sajelah kita namakan sponsor. Mengenalpasti kekuatan dan kelemahan. Analisa klimate dan kehendak stakeholder.

Biarlah Maslow, Munsterberg, Mary parker, Mc Gregor, Barnard , Hawthorne dan yang lain itu berehat. Usah ganggu mereka. jangan sebut nama mereka hari ini.

Kerana hari ini aku penat. Dan sangatlah lapar.

Atau...jom beli baju raya...

Wednesday, August 25, 2010

Erti kasih sayang.

Berbuka sendirian di pejabat. Mengajar erti dan nilai persahabatan. Kekeluargaan. Dan kasih sayang.

Terasa dunia amat sunyi. Dan syahdu.

Kadang-kadang kita hanya menghargai sesuatu yang telah tiada. Gagal mensyukuri apa yang ada.

Ampunkan dosa hambaMu Ya ALLAH.

Tuesday, August 24, 2010

Tukar langsir.

hahahahahhahhahahhahaahaaaa..........

hahahhahahahahaah.....

"kenapa?' "Tu akak tu yg tengah sibuk pilih langsir" "Kenapa?"

"Dia tak perasan ke bajunya sama corak dengan kain langsir belakang dia tu?"

hahahahahahah. Nasib baik ketawa tak membatalkan puasa.

Tok Qadar

Dulu. Selepas solat tarawikh, kami main sorok-sorok. Dan kerap kena leter. "budak-budak jangan main menyorok-nyorok. nanti terlanggar Tok Qadar...Tok Qadar nak keluar ni." 

Sehingga kini aku masih tercari-cari. Masih merindui. untuk dapat berjumpa Tok Qadar...

Yang lebih baik dari seribu malam..

Sunday, August 22, 2010

Epilog Cinta

80an.
N :"Siapa saya pada awak?" Aku : "Saya akan cuba jadi yang terbaik" Mungkin.

"Tolong ya Mad..., jangan hubungi N lagi" Ibunya. "Rasanya ini yang terbaik buat N" Berita walimahnya pun hanya diketahui secara kebetulan. Mungkin dia tak sanggup memberitahuku. Mungkin aku bukan yang terbaik baginya.

2000.
Dia menyapa aku dan bertanya khabar. Aku jawab baik walau jauh dilubuk hati aku tahu aku bukan terbaik utknya. Allah telah mengutuskan seorang yang terbaik untukku. Sekarang.

Friday, August 20, 2010

Tenang

Lalu tepi pusara ayah dan kakak. Terasa tenang.
Mungkin Allah memberi tanda.
Moga-moga mereka tenang di sana.

Dan aku masih ingat. Waktu kamu masih ada.
Setiap ramadhan. Mungkin roh kamu ada dekat.

Tenanglah. InsyALLAH.

Thursday, August 19, 2010

Rahmat

Tamat 10 pertama. Dan aku tidak pasti. Adakah aku akan dapat mengemis RahmatMu lagi pada 10 yang akan datang.

Akan merayu pengampunanMu dalam 10 dua. Izinkan dan beriku kekuatan.

Wednesday, August 18, 2010

Payah

Dulu kata Pyan : menongkah derita yang payah.

Aku masih lagi mencari makna dalam kata itu. Kata Muhammad Hj Salleh : kalau aku menemukan makna dalam kata, aku akan kembali remaja....

Hidup tak seperti madah. Hidup lebih payah. Tetapi kepayahan itu membuktikan aku hidup.

Agaknya.

Tuesday, August 17, 2010

Rindu


Kesyhahduan ramadhan membangkitkan rindu.

Rindu pada zaman anak-anak. Pada orang tersayang yang telah pergi mendahului. Mungkin benar arwah-arwah mereka ada disamping kita dengan keizinan Allah. Pada masa dulu yang sempit tapi senang..

Mungkin kerana usia hampir menjengah separuh abad. Mungkin tanda rindu utk dekat denganNya.

Mungkin.

Tuesday, August 03, 2010

Korban

Cinta tak semestinya bersatu.
Kata orang cinta harus berkorban.
Ebiet G. Ade

Harus kah?