Tuesday, December 27, 2011

Warna

4 hari lagi tamatlah 2011. Menyorot kembali 361 hari yang telah berlalu. Ada hari manis dan ada hari pahit untuk diingati. Tetapi semuanya mewarnakan kehidupan. Yang dinamakan kehidupan. Tetapi apapun aku bersyukur ke hadrat Mu Ya Allah. Kerana dengan inayah dan limpahMu aku dikurniakan setahun lagi kehidupan.

Warna sedih pertama kehidupan, aku kehilangan ibu yang kusayangi. Dan pada hari yang sama aku terhijab atas KehendakMu. Namun aku bersyukur kerana jalan kembalinya amat mudah. Seperti yang selalu diungkapkan bibirnya. Pergi dengan mudah tanpa menyusahkan anak cucunya. Terima kasih Allah kerana Kau tunaikan permohonannya.

Warna pahit dalam kerjaya. Aku diuji dan hampir tewas dengan keakuanku. Dan aku mohon padaMu. Melalui iktikaf 7 ku untuk kau berikan ku kekuatan. Dan petunjuk. Untuk aku membuat pilihan. Dan aku mohon kesabaran. Kesabaran untuk menundukkan keegoanku. Mengekang nafsu amarahku. Memasung jiwa bongkakku. Alhamdulillah, tempoh payah kulalui walau agak perit dan memberi kesan kepada fizikalku.

2011 hampi melabuhkan tirai. Dan aku bersyukur kepada mu, dipenghujungnya kau warnai kehidupanku dengan warna girang. Bertemu sahabat lama, menghidupkan kembali rumah ibuku yang kaku selama beberapa bulan. Dan anakku menghadiahkan aku dengan kejayaannya. Dan yang paling penting, kau hadiahkan aku dengan isteri yang amat memahami dan anak-anak yang baik. Tiada apa yang lebih perlu kupohon, kecuali Kau letakkanlah kami di bawah lembayung RahmatMu dan sentiasa kau bimbing di atas jalanMu.

ALHAMDULILLAH. Nothing more, nothing less, nothing else.

Wednesday, December 21, 2011

Keputusan

Inilah saat saat yang mendebarkan. Persoalannya adakah sianak yang menduduki peperiksaan lebih berdebar? Atau ibubapa yang lebih berdebar! Kurang dari 24 jam lagi keputusan PMR akan diumumkan. Dan aku di Kuale untuk menemani anak mengambil keputusan esok. Dan mengikut perkiraan biasa, ini kali terakhir untuk keputusan PMR. Dan buat kali yang ketiga.

Kita selalu menekan dan mengharap sianak untuk berjaya. Bagus. Tetapi jangan sampai kita yang pengsan jika sianak gagal mencapai kejayaan seperti yang kita harapkan. Apatah lagi jika kita telah pukul canang bahawa anak kita bakal calon terbaik.

Bersyukurlah jika ia telah berjaya ke takat ini. Redhalah dengan keputusan yang bakal diterima. Jika baik, syukur Alhamdulillah, jika tidak, berilah mereka sokongan dan kekuatan, bukan kritikan dan kutukan. Ini bukan penamat tetapi jadikan ia permulaan.

Jika jatuh, bangunlah semula. Seperti kata Arwah Ayah saya, tidak penting untuk ingat berapa kali kita jatuh, yang penting ialah untuk mengukur berapa cepat kita bangun semula. Megumpul semula kekuatan untuk meneruskan kehidupan. Bukan menghitung berapa luka yang dikutip sepanjang jalan kehidupan.

Saya doakan Allah memberi kita para ibubapa kesabaran dan para anak dibekalkan dengan ketabahan ketika menerima keputusan esok. InsyaAllah.

Dan teringat ketika mengambil keputusan dulu. Yang menangis ialah yang gagal mendapat semua A, tetapi yang menjerit kegirangan paling kuat, adalah rakan yang hanya mendapat cukup makan.

Aku? Berada ditengah-tengah diantara yang menangis dan yang menjerit kegirangan. Aku hanya tersenyum dalam kesyukuran!


Kuala Kangsar. 10.00 mlm 21.12.2012.

Saturday, December 17, 2011

Separuh

Kurang 24 jam lagi usia akan mencapai separuh abad. Dan mulai bulan depan hadir kerja juga dibayar separuh sahaja gaji. Kerana pada usia ini aku sudah layak bersara dan mendapat pencen separuh dari gajiku. Namun aku berdoa, jika aku masih diberi kudrat dan iradat untuk bekerja, usaha aku tetap seperti biasa, jika pun tak termampu meningkatkan dari apa yang telah ku beri.pohon dari Mu YaAllah kudrat dan iradatMu jua.

Pada usia ini kami dipanggil lelaki separuh umur. Mengapa? Aku pun tidak tahu. Namun aku membuat andaian ada lelaki yang apabila mencapai umur sebegini jadi keliru. Dan mula berlagak dan bergaya separuh dari umurnya. Jadi mula merasa seperti berusia 25 tahun. Nauzubillah. Semoga Allah pelihara aku dari sedemikian. Jika tak upaya jadi lebih baik, berilah aku kekuatan agar dapat beristiqamah dengan apa yang baik yang telah kau kurnikan.

Aku mohon YaAllah jangan terperangkap dengan mainan Mid Life crisis'. Sedang rumah semakin mengira hari tempoh expired aku. Dan kubur begitu ghairah mennungu arrival ku. Kerana dalam leka percaya ini hanya Mid Life Crisis, rupanya ia adalah End Life Crisis. Dan saat akhir baru kita sedari bahawa kenderaan HIDUP ini tidak ada reverse gear.

Syukur YaAllah atas apa jua yang telah kau beri.

Nothing more, nothing less, nothing else...but YOU, The Most Merciful.

Wednesday, December 14, 2011

Yang Berjaya dan Yang Gagal

Yang Berjaya.

Setelah merancang sebegitu lama. Dan terpaksa mengimbangi antara yang pesimis dan yang optimis. Akhirnya tibalah hari yang dinantikan. 71 orang dari 119 orang hadir. 4 orang ( setakat yang diketahui) telah pergi menemui Khaliqnya. Dan ini sesungguhnya membuktikan bahawa ramai yang masih menghargai persahabatan.

Dimulakan dengan bacaan Yasin. Tahlil. Dan maghrib berjemaah di pimpin oleh seorang sahabat. Amat tersentuh hati dengan bacaannya. Sedunya ketika memimpin solat. Dan airmatanya ketika saling bersalaman dan berpelukkan. Amat tersentuh hati dengan kehadiran seorang sahabat yang menggagahkan diri untuk hadir. Walaupun baru sahaja kehilangan anak tercinta tak sampai seminggu. Demi persahabatan. Yang menjawap persoalan apa lagi yang dapat dikongsi setelah 33 tahun terpisah.

Diikuti majlis makan malam. Dan buat pertama kali aku terasa amat payah untuk mengacarakan majlis. Kerana pembesar suara ku tidak cukup kuat. Kerana ia ditengelami oleh hilai
tawa antara sahabat yang ditemukan semula. Jumlah yang hadir melebihi dari jangkaan. Dan
penganjur takut. Sehingga tidak makan bagi mendahulukan tetamu. Dan 4 orang guru hadir. Dan buat pertama kali guru yang biasanya petah berkata kata terkedu tidak bisa berbicara. Dan
enggan meninggalkan majlis sehingga petugas hotel mendesak kerana masa telah tamat.

Di sambung semula. Hampir 30 orang bertamu ke Pelita. Menyambung cerita dan gelak ketawa. Ada juga yang berkongsi duka. Dan itulah erti persahabatan. Thoroughbred, i salute you.

Yang gagal.

Telah juga dirancang. Dipindahkan tempat agar memudahkan sahabat. Namun gagal dilaksanakan. Mungkin ada hikmahnya. Untuk kami menyelami lebih dalam makna persahabatan. Dan lebih mengerti. Bahawa Pendita belum tentu bijaksana. Atau masih perlu menyelesaikan beberapa kekusutan. Yang kadang kadang tidak kita akui.

Dan aku masih mencari titik persamaan dan perbezaan.

Friday, December 09, 2011

Penyatuan Semula

November yang terlalu sibuk. Atau sengaja buat buat sibuk. Berlalu dengan pelbagai kenangan. Tanpa disedarai sepertiga Disember pun berlalu dengan pantas. Tinggal lebihkurang 21 hari lagi kita melangkah ke tahun baru.

Sibuk merancang untuk organisasi. Ya genap 26 tahun bersama organisasi pada Disember ini. Penuh kengan, manis dan pahitnya. Sibuk merancang untuk keluarga. Namun banyak yang tinggal rancangan sahaja. Dan masih sempat merancang penyatuan semula. Teman remaja mencari dan mengenali kedewasaan. Mencari identiti diri. Di bawah satu bumbung asrama yang sama dan menyuap nasi dari kawah yang sama. Reunion. Ada yang begitu ghairah untuk bertemu semula. Pun ada jua yang berkata.."Ya kita kongsi lima tahun bersama, tetapi kita terpisah selama lebih 3 dekad, apa yang ada lagi untuk di kongsi? Selain sapaan mesra, bertanya khabar dan kemudian apa?"

Yang dikongsi adalah persahabatan. Itupun jika kita menghargainya. Jika tidak, apalah ada pada satu majlis makan malam Reunion. Yang dikongsi adalah pengalaman. Yang mendewasakan. Yang dikongsi adalah perasaan kasih sayang. Yang dibina adalah ukhwah dan persahabatan. Itupun jika kita menghargainya.

Dan yang lebih memberi erti, ialah ingatan kita pada sahabat yang pernah memberi kita masa untuk mendengar rintihan kita, berkongsi kemewahan mereka, meminjamkan masa mereka kepada kita semasa kita memerlukannya. Dan aku punya banyak kenangan tersebut. Kerana dalam mencari kedewasaan dibawah bumbung asrama Kg Konggo, ramai yang berkongsi dengan aku masa, tenaga dan wang ringgit mereka.

Itulah yang dikongsi.Kenangan. Dan terima kasih yang kadang kadang tidak pernah diucapkan.

Monday, October 31, 2011

Antara Gadhafi dan Yue Yue.

Perikemanusiaan. Mungkin perlu dikaji semula takrufnya. Atau perlu dicari semula. Jika benar ia telah hilang. Atau tenggelam di bawah timbunan dinar rupiah dollar dan Yen. Dan jangan malukan haiwan. Dengan menuduh mereka bersifat kebinatangan. Kerana haiwan pun malu jika mereka disamakan dengan manusia. Jika itulah contoh yang dilestarikan.

Kata Pendita, tiada manusia dalam alam binatang tetapi ada binatang dalam alam manusia. Tetapi anjing pun kasih dan sayang pada anjing yang lain. Hingga sanggup menggadai nyawa menyelamatkan sahabatnya. Pasti jika mereka pandai membaca, mereka juga jijik membaca kisah Gadhafi dan Yue Yue. Pasti mereka tidak mahu disamakan dengan manusia. Jika itulah perlambangan kemanusiaan.

Dan aku tidak marah jika kamu panggil aku binatang. Jika kisah anjing tadi jadi perlambangan kasih sayang. Kerana kita gagal melestarikan makna kasih sayang. Kita gagal memaknakan perikemanusiaan!

Wednesday, September 28, 2011

Seratus.

28 September 2011. Genap seratus hari emak pergi menemui Khaliq penciptanya. Kebetulan hari terakhir syawal. Esok penerbangan pertama mereka yang beruntung di jemput menjadi Duyuffus Rahmah berangkat. Menyahut lambaian Kaabah. Untuk bersolat di Masjidil Nabawi. Menziarahi Perkuburan Makam Rasulullah. Perkuburan sahabah. Perkuburan Baqi. Melawati tempat bersejarah. Dan seterusnya berangkat ke Mekah dan bermiqat di Bir Ali. MasyaAllah terasa perjalanan yang dilalui 10 tahun yang lepas masih baru semalam. Kerinduan untuk bersama dengan Duyuffus Rahmah memuncak.

Dua perkara yang dipandang sahaja Allah berikan pahala. Wajah ibu dan Kaabah. Satu telah tiada dan satu lagi terlalu jauh. Teringat kali pertama melihat Kaabah. Terasa diri terlalu kerdil. Serasa diri hanya sebutir debu yang berterbangan di bawa angin lalu. Dan ketika itu terasa bahawa sebenarnya diri ini tidak ada apa-apa untuk dibanggakan. Tiada pangkat. Tiada gelaran. Dan ketika berihram hanya 2 helai kain putih membaluti tubuh. Dan kain tersebut juga untuk dijadikan kapan jika nyawa meninggalkan jasad. SubhanAllah. Maha suci Allah, yang memasukkan siang ke dalam malam, dan malam kepada siang, yang memasukkan hidup ke dalam mati dan yang memasukkan mati kedalam hidup.

Haji. Bukan besar kepada gelarannya. Bukan penamat dan kepada penggenapan kepada rukun. Malah permulaan kepada suatu perjalanan yang lebih payah. Haji bukan sekadar cuti panjang dari berbuat dosa. Tetapi sepatutnya penamat kepadanya. Dan permulaan kepada satu tanggungjawab yang lebih besar. Permusafiran selama 40 hari terasa amat mudah jika dibandingkan dengan dugaan yang menunggu selepas kembali dari permusafiran. Terasa pantang ihram lebih mudah jika dibandingkan dengan pantang lain yang menunggu sekembalinya nanti. Setan yang dilontar di3 Jamrah masih menunggu kita di lapangan terbang bila kita balik. Malah kita diuji dengan ujian
yang lebih hebat.

Astaghfirullah. Ampun kan aku yang terlupa, kuatkan aku yang lemah, bimbig aku yang tidak berdaya dan jangan kau uji aku dengan ujian yang aku tidak mampu menghadapinya.

Dan semoga Kau jemput aku kembali ke rumahMu!

Cerangin Resort...Janda Baik.

Monday, September 12, 2011

Yang dipinjamkan.

Apabila ditanya oleh Rasulullah s.a.w kepada Abu Zar r.a apakah yang kamu paling sukai maka jawab Abu Zar r.a bahawa 3 perkara paling dicintainya. Pertama adalah lapar. Kedua adalah sakit. Dan yang ketiga adalah mati. SubhanAllah. Dan Abu Zar seperti kata Rasulullah adalah orang yang telah dijanjikan Allah s.w.t sebuah pintu khas untuknya disyurga. Atas sifatnya. Atas perjuangannya berjuang menentang segala bentuk rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa.

Abu Zar cinta lapar agar dia kenal erti bersyukur. Dia cinta sakit kerana ini membersihkan dosanya. Dia suka mati kerana dia dapat menemui Penciptanya. MasyaAllah.

Aku? Aku suka kenyang. Kadang-kadang terlebih kenyang. Aku benci kesakitan. Aku tak tahan menanggung kesakitan. Dan aku amat takut mati. AllahuAkbar. Jauh. Aku masih terlalu jauh.

Aku masih suka memiliki. Malah amat bangga memiliki. Apa jua. Dan sifat paling keji ialah perasaan ingin memiliki dan dimiliki. Sedang kita hanya hamba. Yang bergembira seketika atas sifat dan harta yang dipinjamkan. Dan kadang-kadang lupa berterima kasih atas segala yang dipinjamkan. Samaq, Basar, Qalam, Qudrat, Iradat, ilmu dan Hayat. Dan pasti akan diambil kembali semua yang dipinjamkan. Alhamdulillah.

Persoalannya adakah aku telah bersedia mengembalikan segala yang dipinjamkan.

Sunday, September 11, 2011

Setelah tamat.

Setelah tamat sebulan membendung nafsu,
Ketika syaitan semua terbelenggu,
Di mana aku?

Wednesday, September 07, 2011

Sorotan seminggu.

Raya. Yang dirayakan dengan pelbagai cara. Mengikut selera sendiri. Mengikut kemampuan sendiri. Ada yang gembira malangnya ada juga yang merayakannya dalam kesedihan. Tahun ini kurang jari yang hilang akibat mercun. Malangnya banyak pula yang kehilangan jiwa di jalan raya.

Ops Sikap Gagal? Seorang sahabat menitipkan komen 'Ops Sikap tak boleh menolak ajal. Benar. Tapi usaha dan ikhtiar perlu dilaksanakan. Selebihnya kita perlu redha. Bukan berserah bodok. Tetapi pasrah setelah melaksanakan segala usaha dan ikhtiar. Inilah kesan pembangunan. Bertambahnya kenderaan di jalanraya. Sedangkan di negara lain mereka terpaksa balik kampung dengan menumpang di atas bumbung keretapi. Itulah tanda kemakmuran negara kita. Alhamdulillah. Tetapi setiap kemajuan ada harga yang perlu dibayar.

Sedang kita berseronok balik ke kampung berhari raya, timbul isu kucing yang terseksa. Di tempat berbayar. Sedangkan kucing jalanan pun lebih selesa. Apakah isu sebenarnya? MasyaAllah sedangkan mengikut sejarah Andalusia, kucing jalanan pun ada haknya dalam perbendaharaan negara.


Yang gugur semasa menjalankan kerja amal membantu saudara seagama. Alfatihah buat Allahyarham dan semoga Allah menempatkan beliau dikalangan orang yang beriman. Usah dipertikaikan keikhlasan. Jangan politikkan isu. Redhakan pemergiannya dan hargai pengorbanannya. Biarlah Allah yang mengukur keikhlasannya kerana ikhlas itu rahsia tuhan.

Komunis. Siapa pejuang dan siapa pembelot. Siapa yang memutar belitkan sejarah? Aku tidak tahu. Kalau itu takrif baru, maka arwah ayah ku yang pernah berkhidmat sebagai SC menjaga keselamatan orang kampung adalah pembelot. Bapa saudaraku yang hilang nyawanya di tangan komunis kerana dikatakan bersekongkol dengan penjajah? Aku tidak tahu. Dan aku jadi tidak peduli.

Aku bersyukur kerana aku dapt menikmati pelbagai nikmatMu YaAllah. Dan aku sentiasa ingat firmanMu..'dan di antara nikmat-nikmat Ku yang mana satu kamu dustakan'..surah ArRahman.

Thursday, September 01, 2011

Alhamdulillah.

Alhamdulillah.

Syukur kehadrat Ilahi kerana memberi kesempatan menamatkan Ramadan ini. Dan di celah kesyukuran aku memohon sedikit perhatianMu YaAllah untuk mempertimbangkan amalanku. Aku tahu YaAllah bahawa amalanKu amat sedikit jika dibandingkan anugerahMu, namun demi sifat Penyayang dan PengasihMu mohon diberi pertimbanganMu jua.

Alhamdulillah aku diber kesempatan marayakan Aidil Fitri. Walau masih terasa kesayuan beraya tanpa ibu tercinta yang Kau panggil kembali Rejab yang lalu. Namun Ukhwah kami masih utuh dan rumah lama kita masih mengikat kasih sayang. Masih ada tali percintaan yang mengikat. InsyaAllah.

Alhamdulillah atas apa jua yang Kau anugerahkan. Sesungguhnya kami amat kerdil tanpa RahmatMu.
Kami amat miskin tanpa rezekiMu. Kami amat jahil tanpa ilmuMu.Dan kami amat bongkak dengan sedikit amanah yang Engkau berikan. Ampunkanlah kami yang hina ini.

Sesungguhnya terlalu hebat pemberianMu kepada kami.
AllahuAkbar.

Monday, August 29, 2011

Merayakan kemerdekaan

Syawal kedua di kampung ketiga, Putrajaya. Sunyi dan sepi. Tiada dentuman mercun, meriam buluh mahupun jeritan gembira anak. Alhamdulillah terdengar sayup-sayup laungan takbir dari surau berdekatan.

Syawal pertama tanpa ibu yang hari ini merupakan hari ke 71 pemergiannya. Syawal pertama anak sulung di perantauan. Terasa sesuatu kehilangan. Alhamdulillah arwah muncul dalam mimpi semasa Ramadan dengan senyum dan wajah yang bersih. Tenanglah di sana dan kami redha.

Tahun ini hari raya hampir berkongsi hari kemerdekaan. Ambil peluang untuk merenung sejenak makna kemerdekaan. Ertinya bebas dari penjajahan. Dan jiwa ini selalu terbelenggu dan Ramadan merupakan bulan penyucian. Cuba membebaskan diri dari belenggu penjajahan. Penjajahan syaitan. Dan penjajahan nafsu. Dan erti sebenar kemerdekaan ialah apabila dapat memutuskan rantai belenggu penjajahan syaitan dan nafsu. Saat itulah kita sebenarnya dapat merayakan kemerdekaan jiwa.

Raya yang lebih agung ialah ketika dapat menemui Khaliq pencipta kita. Menemuinya dengan jiwa yang tenang, redha lagi diredhai. Maha Suci Allah. Itulah raya yang paling agung. Paling
hebat.

Sahabat, sementara menanti raya yang agung itu, marilah kita meneruskan usaha dan amal dengan penuh keikhlasan dan istiqamah. Marilah kita mengangkat kesyukuran kerana masih berpeluang
meraikan Aidil Fitri dan Hari Kebangsaan. Selamat Hari Raya Minal Aidin Wal Faiizin. Mohon kemaafan jika coretan ini dan yang sebelumnya ada yang menyinggung perasaan sesiapa. Sesungguhnya coretan ini lebih merupakan peringatan untuk diri sendiri.

Friday, August 26, 2011

Rumah..

Rumah bukan sekadar papan berkapit papan berpaku beratap zinc. Bukan sekadar batu berikat simen beratap genting. Bukan sekadar menahan panas dan hujan. bukan juga sebagai tempat berlindung cuma. Dan rumah perlu kerap dibersihkan. Dari segala kekotoran.

Rumah juga perlu diisi perabut. Disi keperluan periuk belanga kerusi meja pinggan mangkuk seadanya. Rumah juga perlu dihiaska. Dilangsir dan dcarpetkan. Dengan lanskap dan kolam ikannya. Itu hanyalah keperluan asas. Namun kadang-kadang ia jadi keperluan utama. Itu yang lebih diambil kira.

Rumah sebenarnya penyimpul kasih sayang. Perlu diisi dengan pengorbanan, kasih, sayang dan perasaan cinta mencintai. Perlu kerap dibersihkan dari kotoran. Kotoran berbentuk sifat. Kekotoran seperti dengki hasad, amarah, tamak, bakhil, taksub, ujub dan sebagainya. Rumah perlu dihiasi agar cantik. Bukan sekadar hiasan fizikal. Tetapi dihias dengan iman dan ilmu. Di hias dengan penuh sifat kesabaran dan penuh istiqamah.

Dan rumahlah pengikat kasih sayang keluarga. Walau kadang-kadang ibu rumah itu telah tiada, tetapi kenangan membesar bersama dirumah tersebut akan menjadi simpul kuat mengikat kasih sayang keluarga.
Rumah akn membentuk keperibadian dan perwatakkan penghuninya. Rumah yang diisi dengan kasih sayang dan dihias dengan iman dan ilmu dalam redha dan sabar akan membentuk penghuni yang terbentuk peribadi dan akhlak yang mulia. Dan sejauh mana ia pergi, hatinya akan kerap digamit rindu kepada rumah tempat ia didik dengan penuh kasih sayang.

Baliklah. Walau kini ia hanya sebagai tempat persinggahan dan bukan lagi tempat berlindung. Baliklah walau cuma di hari perayaan. Baliklah untuk menghirup kembali kenangan kasih sayang yang masih terasa disetiap ruang rumah tersebut. Baliklah, sebelum kita dipanggil balik ke rumah yang lebih kekal abadi.

Tuesday, August 23, 2011

Penghujung

Malam 24 Ramadan. Kita telah hampir tiba di penghujungnya. Telah terlepas sepuluh pertama Rahmat. Telah terlepas 10 kedua pengampunan. Dan separuh pembebasan telah jua pergi. Dan kita tidak tahu samada akan bertemu lagi Ramadan yang akan datang.

Begitu juga dengan kehidupan. Saban hari kita semakin menghampiri penghujung kehidupan. Dan dalam doa yang dipanjatkan kita mohon agar kita menemui penghujung yang Husnul Khatimah dan bukan Suul Khatimah.

Setiap pengembaraan juga akan tiba di penghujungnya. Dan tatkala itu dia mula menghitung gembira yang dibawa, dan sedih yang dikumpul, luka yang berparut atau bangga yang bersalut. Mahu diukur dan ditimbang lalu dikira jumlahnya. Kadang-kadang yang ada hanyalah lara yang tak bermakna. Dan timbangan manusia terlalu kejam dalam pengukurannya.

La Tahzan. Janganlah bersedih, kerana dunia ini terlalu hina untuk ditangisi.Menurut Allah, dunia lebih tidak berharga dari sayap seekor nyamuk. Namun dunialah yang melekakan kita. Dan membutakan pandangan mentulikan pendengaran.

Dan kalaulah boleh kita tahu di mana penghujungnya.

Thursday, August 18, 2011

Kuserahkan

Hari ini 18 Ramadan. Al Fatihah genap 60 hari  mak pergi. Pergi menemui Penciptanya. Tiadalah lagi sibuk seperti setiap Ramadan yang lepas, mahu membelikan kuih untuk cucu cicitnya. Leterannya. Cerita dan kisahnya.

Tahun ini juga genaplah 29 tahun ayah pergi menemui Penciptanya. Tapi aku masih ingat gurau sendanya. Nasihat dan tunjuk ajarnya. Sayang ayah tak sempat berkongsi apa yang sempat kucari. Duniawinya. Hanya apa yang dapat kukirimi hanyalah doa. Dan airmata.

Iktikaf 7 ku kuserahkan padaMu Allah untuk disampaikan kepada merekau berdua. Yang membawa aku kedunia ini.

YaAllah, jadikanlah mereka berdua ini dari golongan kanan. Dan semoga mendapat balasan kepada golongan kanan eeperti yang Engkau janjikan.

"Dan golongan kanan, alangkah bahagianya golongan kanan itu, Berada diantara pohon bidara yang tidak berduri. Dan pohon pisang yang bersusun-susun (buahnya). Dan naungan yang terbentang luas. Dan air yang tercurah. Dan buah-bu'ahan yang banyak. Yang tidak terhenti buahnya, dan tidak terlarang mengambilnya..."

AlWaqiah Ayat 27 hingga33.

Tenang dan rehatlah di sana.

Wednesday, August 17, 2011

Tujuh








Tujuh. Jadi penyembuh.

Sunday, August 14, 2011

Separuh

Hari ini 15 Ramadan. Separuh telah berlalu. Hanya separuh yang tak pasti milik kita yang tinggal. Yang belum kita nikmati sebenarnya bukan milik kita. Hanya kita bayangkan akan kita dapati. Tapi Maha Suci Allah, Dia yang tahu samada separuh lagi dapat kita lalui.

Ironiknya tahun ini umurku hampir mencapai separuh abad. Dan lebih dari separuh umurku aku berkhidmat, dan separuh bulan ini Alhamdulilah aku di beri ganjaran separuh bulan gaji. Cukuplah. Bersyukur mendapat separuh dari tidak mendapat apa-apa. Dan hampir separuh dari tempoh perkhidmatan aku, aku adalah weekend father. Maka dalam tempoh yang separuh itu, tak sampai separuh dari masaku dapat ku habiskan dengan keluarga. Demi mencari rezeki.

Ramadan separuh abad usia ini aku memikir kemana agaknya separih dari rezeki itu? Adakah ia menjadi amal atau menjadi lara? Nauzubillah, aku mohon Ya Allah jika tidak separuh pun, adalah sebahagian menjadi amal. Tiada apa yang dapat ku bawa ke hadapan Mu kelak, jika yang ada hanya menjadi daki dunia.

Dan kadang-kadang terfikir untuk bersara dan berehat. Tapi tinggal separuh gaji yang ku terima. Dan aku jadi resah. Aku jadi sedih. Sedang aku tahu bahawa tidak berguna bersedih untuk dunia, jika kita tahu hinanya dunia yang akan kita tinggalkan. La Tahzan.

Separuh yang tinggal ini amat berharga. Kerana yang datang belum tentu milik kita.

Monday, August 08, 2011

Simpang.

Minta disimpang malaikat 44. Kata orang tua-tua dahulu. Bila minta dijauhkan dari perkara yang tak diingini. Kenapa 44 malaikat, tidak kurang atau lebih? Aku pun tidak tahu dan tak pernak pula tanya orang dulu-dulu.

Bagaimana pula apabila kita sampai di simpang? Pasti perlu buat pilihan. Kanan atau kiri? Atau ambil jalan tengah, itu pun jika ada jalan tengah. Kalau tengah itu tembok atau jurang, nahas.
Kalau macam kata lagu tu "kiri duri kanan pun duri!.." pun payah jugak nak buat pilihan.

Bila sahaja kita bertemu dengan persimpangan pasti kita perlu buat pilihan. Apatah lagi jika persimpangan yang dihadapi adalah persimpangan kehidupan. Kita sentiasa tidak pasti untuk memilih kiri atau pun kanan. Kita sentiasa was-was, ragu-ragu, dan syak terhadap keputusan yang kita buat. Kita di ajar untuk solat istikharah. Bermunajat. Mohon pertolonganNya sebagaimana maksud firmanNya...Mintalah, dengan bersolat, dan sabar...

Bukan mudah memilih. Bukan mudah merancang. Tapi aku ingat. Manusia merancang, tetapi Allah sebaik baik perancang dn pelaksana.

Friday, August 05, 2011

Takut

Bahasa melayu. Kalau bahasa Arab taqwa. Seronoknya mendengar Dr Uthman El Muhammady berkhutbah. Dalam 3 bahasa. Arab, english dan BM. Tetantang taqwa. Selalunya kita hanya menjaga taqwa dengan tuhan. Tapi kita lupa taqwa yang lain.

Taqwa dalam menjaga silatur rahim. Menjaga perhubungan dan ukhwah saudara seagama. Jangan sakiti hatinya. Jangan aibkan. Apatah lagi jika dia di bawah tanggungan kita, jangan biarkan orang lain mengaibkan dia. MasyaAllah.

Taqwa dalam menjaga makan minum. Yang toiban dan halalan. Baikndari segi fizikal dan rohaninya. Bukan sahaja ia bersifat halal dari segi persediaan, malah yang lebih rumit menjaga halal puncanya. Bukan rasuah. Bukan tipu daya. Subhanallah.

Taqwa dalam menjaga amanah. Kuasa. Pangkat. Tanggungjawab. Pun merupakan kunci taqwa. Jangan leka dengan apa yang kita dapat tapi peka dengan tanggungjawab yang datang bersama rezeki. Jangan salahguna kuasa. Jangan bongkak. Jangan taksub. Jngan ujub. Nauzubillah.

Dan akhirnya beliau berpesan, marilah kita belajar bertaqwa, supaya taqwa itu pada kita seperti ikan berenang di air dan burung berterbangan di angkasa. Maha suci Allah.

Dan aku jadi benar benar takut dengan apa yang aku ada.

Wednesday, August 03, 2011

Payah. Amat payah.

Payah sungguh mengekang nafsu amarah. Apatah lagi jika sasaran kemarahan ialah kebodohan diri sendiri. Gagal untuk menundukkan amarah bermakna kelemahan. Nak marahkan Syaitan? Bukankah mereka terbelenggu waktu ini?

Inilah ujian Ramadan. Bukan lapar. Kerana nafsu makan dah lama tunduk. Tunduk,pada gout, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya. Bukan kepada syahwah. Itu pun telah lama tunduk selaras dengan usia yang semakin mencapai ke penghujungnya. Harta benda? Kubur terlalu sempit untuk memuatkan harta. Pangkat dan kebesaran? Takkan disebut semasa talkin. Tak ditnya langsung oleh si penggali kubur. Tiada saiz berbeza waima tinggi mana pangkatnya dan hebat mana kebesarannya.

Mungkin maruah sahaja yang masih bisa dipertahankan. Dan amat payah mempertahankan maruah. Bila mana maruah kadangkala jadi barang dagangan. Boleh dijual beli. Dan amarah yang besar ialah bila maruah tercabar. Agaknya.

Apa lagi yang dapat dipertahankan jika maruah boleh dijual beli? Bila maruah menjadi pertaruhan demi pangkat dan kebesaran. Sesungguhnya amat payah menghadapi ujian kesenagan. Rupanya lebih mudah menghadapi ujian kesukaran. Jiwa lebih kusyuk. Lebih tawaduk bila ditimpa kesusahan. Tetapi jiwa angkuh semakin membongkak bila di uji dengan kesenangan.

YaAllah, aku mohon, aku rayu agar Kau beri aku kekuatan dan kebijaksanaan dalam menghadapi ujian Mu. Kekang nafsuku, psung amarahku, tundukkan jiwa bongkakku, kerana tanah jua akhirnya aku.

Friday, July 29, 2011

Rindu.

Menjelang ramadan hati digamit rindu. Segumpal rindu yang membungkam di hati. Rindu kepada zaman anak-anak yang bebas dari masalah. Dan ramadan yang dipenuhi dengan pelbagai ragam. Puasa yang yok, tarawikh dan main sorok-sorok. Dentuman meriam buloh dan percikan bunga api. Lemang ayah dan bahulu mak.

Rindu nasi kawah dewan makan sekolah asrama penuh. Yang banyak menyimpan kisah suka duka dipukul dan memukul, dihanjing dan menganjing dan cinta monyet yang bertukar saban minggu. Dengan lagu 'jangan main api' setiap sahur yang tak jemu-jemu dipasang oleh pakcik tukang masak. Rindu memanjat tangga pudu raya untuk berebut masuk bas Len melalui tingkapnya. Rindukan remaja yang telah lama kutinggalkan.

Rindu kepada kesyahaduan bacaan Sheikh ArRumi di Mesjid Besi. Dan meronda Jalan Tuanku Abdul Rahman selepas tarawikh pada malam alhir ramadan. Rindu pada keseronokkan mengatur cuti untuk beraya diantara rumah mak dan rumah mertua.

Sebahagian kerinduan tak mungkin terubat. Tahun pertama tak perlu lagi mengatur cuti kerana mak telah tiada. Tahun ini tahun pertama anak sulung beraya di perantauan. Membuatkan aku sedar bahawa semakin meningkat usia banyak kerinduaan hanya tinggal kerinduaan. Tiada yang dapat mengubat rindunya.

Dan kini aku amat rindukan ketenangan. Kerana kadang-kadang terasa penat mengejar dunia yang semakin jauh. Dan aku tahu, aku sepatutnya sedar aku mesti mula rindukan saat menemui Khaliqku.

Adakah kamu juga rindu sebegitu?

Monday, July 18, 2011

Sebulan.

18 Julai 2011. Genap sebulan mak pergi kembali kepada Khaliq Penciptanya. Dan kami masih lagi terasa kehilangannya. Dalam redha.

Terasa masa amat pantas. Walau rasanya baru semalam kami menerima berita yang memeranjatkan itu. Begitulah pantasnya masa berlari. Sedang kita masih sibuk mengejar. Dan tak kita sedari kita juga sentiasa dikejar. Kita berterusan mengejar dunia. Mengejar benda yang diingini oleh nafsu. Dan mati sentiasa mengejar kita. Saban hari semakin menghampiri kita. Tidaklah berganjak ia dari janjinya walau sesaat terdahulu mahupun sesaat terkemudian. MasyaAllah.

Kata Ebiet g. Ade 'kematian adalah tidur yang panjang, maka mimpi indahlah'..

Adakah aku menyediakan tempat peraduan tidur panjang yang penuh dengan mimpi indah? Atau hanya penuh dengan igauan ngeri? Aku tidak pasti.

Anda pasti?

Thursday, July 14, 2011

Malas

Taringat kata-kata seorang rakan sekerja. Pada ucapan hari terakhir kariernya. Jamuan persaraan untuknya. Katanya ... "Ada hari malas saya, ada hari bodoh saya. Tetapi saya pasti dalam melaksanakan tugas saya, saya cuba melaksanakan dengan ikhlas. Saya yakin tiada hari jahat saya"

Membuat saya terfikir bahawa tanpa kita sedari, kita juga melalui fasa yang sama. Ada hari malas dan hari bodoh. Tapi saya yakin dan berusaha agar tiada hari jahat saya. Dalam melaksanakan tugas saya. Walau saya agak keras, kadang-kadang terlalu lancang dalam menuturkan kata-kata, mungkin dari kebodohan saya. Bukan kejahatan. Ditutur kerana sayang, bukan kerana benci.

Ilmu, amal dan ikhlas..pesan bos saya. Benar kurang ilmu saya, dan ada hari malas yang mengacau amal saya. Ikhlas? Bagai lalat hitam di permukaan yang hitam di malam yang gelap. Payah untuk mencarinya. Malahan ia rahsia tuhan. Malahan syaitan pun kalah dengan orang yang ikhlas.

Memang payah mencari rahsia tuhan..

Tuesday, July 12, 2011

Dekat

Bulan Jun dan Julai aku banyak menulis tentang mati. Kerana kehilangan orang yang tersayang. Amat memberi kesan yang mendalam. dan mengingatkan aku tentang mati. Tentang dekatnya kita dengan waktu itu.

Hari ini 12 Julai 2011 aku terima lagi berita kematian. Malahan 2 berita kematian. Seorang sahabat dari sekolah dan seorang sahabat semasa di uni. Umur hampir sebaya dengan aku. seorang berumur 51 tahun dan seorang berumur 46 tahun. Amat dekat dengan umur ku.

Selepas subuh pagi tadi aku terima panggilan dari anak sulung. yang berada di rantau orang. Bertanya khabar dalam nada yang cemas. "Abang mimpi semua gigi abang tanggal. Abang risau kan mak dan ayah". Dia jauh tapi aku rasa dia amat dekat. Sangat hampir dengan aku.

Mengingatkan aku tentang mati. Setiap hari semakin menghampirinya. Sedang aku masih leka dengan mengejar. Leka dengan mencari. Penat mengejar dan mencari. Dan selalu sedih dalam mencari. Sedangkan janjiNya ayat 61 surah An Nahl yang bermaksud " Maka apabila telah tiba waktu yang telah ditentukan kematian bagi mereka, tidaklah mereka akan dapat mengundur atau mendahului walau pun sesaat". Itu pasti. Amat pasti. Pada satu ketentuan.

Al Fatihah buat  2 sahabatku. Tenanglah di sana. kami pasti akan menyusul kamu kelak.

Saturday, July 09, 2011

Setelah hilang kotor.

Hari ini amat penat. Penat badan. Penat mata. Dan paling penat hati. Melihat kita saling menuding jari. Bertaki dan berbalah. Sehingga memaki dan mencarut. Masing-masing tidak mahu kalah. Sedang kita berbalah, ada pihak yang mungkin tersenyum melihat percaturan mereka membuahkan hasil.

Apa yang dituntut? Ada yang faham dan menyokong. Sekurang-kurangnya mereka tahu dan faham apa yang mereka sokong. Ada yang tidak tahu dan tidak faham apa yang mereka sokong. Tetapi jiwa muda yang membara merasakan perlu untuk menyokong. Walaupun kurang arif dengan apa yang disokong.

Kita hanya membaca yang tersurat. Tetapi jarang nampak apa yang tersirat. Hasrat tersembunyi tidak dizahirkan. Sekadar melaungkan perkara yang murni sahaja. Yang sedap didengar dan mudah dipercayai. Walau yang tersirat lebih kepada memenuhi kehendak sendiri.

Tidak ada yang sempurna kecuali Pencipta. Tiada keadilan setanding keadilanNya. Jika salah tegurlah dengan cara yang berhemah. Tak perlu meniru yang dibuat oleh orang lain. Apakah benar kita begitu terdesak? Atau individu yang terasak?

Peliharalah apa yang kita ada. Jika salah perbetulkan dengan cara yang berhemah. Kalau benar pemilihan pemimpin kotor, mana mungkin ada yang kalah.asti semua kemenangan dapat dicipta dengan mudah. Pastikah kita yang hari ini menjerit minta bersih itu sebenarnya bersih? Yakin?

Aku masih lagi mencari makna bersih. Aku masih lagi membaca buku tentang himpunan. Yakni buku bertajuk Himpunan Solat Sunat. Kerana aku yakin aku lebih banyak menghimpun dosa dari pahala.

Thursday, July 07, 2011

Mati

"Setiap yang hidup pasti menemui kematian" ..Ali Imran ayat 185,

"Di mana saja kamu berada pasti kamu sekelian akan menemui kematian, sekalipun kamu berada dalam benteng yang tinggi dan kukuh"...An Nisa ayat 78.

Ia pasti. Cuma cara dan ketika yang tidak pasti. Yang penting bagaimana kita mati. Kerana itu janji. Dan bila datang janji tidaj akan terundur atau kehadapan sesaat juga lagi.

Yang penting biar lah Husnul Khatimah..penamat yang baik. Dan bukan Su-ul Khatimah yakni penamat yang buruk. Biarlah mati kerana mempertahankan yang hak. Bukan sebab berebut parking. Atau berebut harta. Sebab kubur itu amat sempit. Dan amat gelap. Tanpa amal yang meneranginya.

"Ya Allah, ringankanlah bagiku akan sakaratul maut"

Jom baca Yassin..

Monday, July 04, 2011

Sedih Dalam Mencari.

Manusia sentiasa resah gelisah dalam mencari. Aku manusia biasa. Juga selalu resah gelisah dalam mencari. Dan kegelisahan semakin memuncak apabila aku tidak lagi yakin dengan apa yang kucari.

Kata Maslow peringkat asas manusia mencari untuk mengisi keperluan asas. Selepas itu mencari kasih sayang. Ingain menyayangi dan di sayangi. Selepas itu mencari kedudukan dan status. Selepas itu mencari self actualization. Mati hidup balik Maslow kalau kita tanya sekalipun dia pasti gagal nak jelaskan apa itu self actualization.

Lebih sedih kalau kita masih mencari diri. Diri yang hilang. Kita juga sibuk mencari tuhan. Ada yang mencari tuhan dalam seni. Dalam madah. Dalam harta. Ada yang sanggup mendaki gunung yang tinggi, meredah belantara, menyelam dasar lautan dalam untuk mencari tuhan.

Aku cari mutmainnah. Aku inginkan radhiah. Aku sangat rindukan mardhiah. Aku teramat mahukan kamaliah.

Tiada nikmat selain bertemu dengan Khaliq!

Sunday, July 03, 2011

Bersih?

Terpanggil untuk meluahkan pendapat. Tentang bersih. Yang jika ditaaruf dari segi makna ialah 'bebas dari segala bentuk kekotoran'.

Namun kadangkala dalam ungkapan bersih terkandung nawaitu yang jijik. Contohnya ungkapan ethnic cleansing yang bermaksud pembersihan etnik atau pembersihan kaum. Walau ada perkataan bersih tapi bersihkah niat pembersihan kaum?

Malang jika terperangkap dengan kata-kata. Tanpa melihat makna yang tersurat. Hasrat yang terselindung. Dan lebih malang jika berjuang tanpa tahu matlamat. Hanya berdiri berani bodoh kerana terpedaya dengan janji kosong.

Kata ustaz Wan Sohor " asas transformasi ialah tempat, kepimpinan, sahabat dan matlamat. Jika Rally yang dicadangkan membawa transformasi untuk ke tempat atau aras yang bersih, kita setuju. Tetapi siapa dan apa tujuan sebenar pemimpinnya. Kalau jelas pemimpinnya benci akan islam, mengapa disokong jua. Siapa sahabatnya? Kalau jelas sahabatnya juga bencikan hak melayu, mengapa disokong jua. Dan akhirnya apa matlamat sebenarnya.

Kita mahu bersuh. Pertama mari kita bersihkan hati nurani kita. Supaya dapat melihat dengan jelas. Bukan melihat dengan mata kasar. Tetapi dengan Ainun basirah yakni mata hati. Lihatlah degan jelas.

Jangan kita terperangkap. Akhirnya kita rasa suci. Tetapi hanya suci dalam debu..

Friday, July 01, 2011

Takut

Kata Ustaz Wan Sohor Bani Leman pagi tadi..'naluri manusia mesti ada rasa takut. Walaupun kita diminta untuk jadi berani. Kerana takut adalah pengimbangtara kepada antara yang baik dan buruk..kata Ustaz Wan Sohor yang datang ceramah naik ZZR 250. cc.

Aku. Sememangnya aku penakut. Takut pada ketidak tentuan. Takut pada sikap diri yang kadang terlalu berani. Terlalu telus. Takut terhadap kelancangan kata kataku bila menyuarakan yang hak.

Terlalu banyak yang aku takut. Sehingga aku takut untuk berfikir. Kerana terlalu banyak berfikir membuatkan aku semakin bersuara. Aku perlu belajar diam. Tetapi jika diam aku takut kebenaran dipijak. Aku tidak boleh diam bila kebenaran dipijak.

Rupanya lebih susah mencari pengimbangtara antara takut dan berani. Bila aku perlu takut, bila pula aku perlu berani. Bukan mudah mencari titik tengah yang dinamakan kesederhanaan itu.

Aku masih mencari titik itu....

Tuesday, June 28, 2011

Antara telus dan tulus..

Kadang-kadang kita perlu jadi kurang ajar. Kata M.Nasir....panggillah mereka pulang, ayah nak ajar tentang kurang ajar...kata M. Nasir. Kita selalu diajar tentang tulus. Adab melayu selalu tulus. Menjawap untu menjaga hati orang yang bertanya. Sedap lauk saya? Oh sungguh enak...walau dalam hati tak berhenti mengumpat.

Kita tersepit antara menjadi telus dan tulus. Jika jadi telus...pasti kita jawap dengan jujur. Tetapi demi menjaga hati kita menjawap dengan tulus. Akhirnya kita jadi hipokrit....dan hanya bercakap di belakang.

Tetapi jadi telus ada harga yang perlu dibayar. Kita dibenci. Kerana apa? Kerana telus. Dan bercakap benar.

Kadang kadang harga tersebut perlu di bayar. Demi maruah. Demi harga diri. Kata arwah ayah..kita boleh hilang segalanya tetapi kita masih bisa berdiri berani selagi kita tidak hilang harga diri.

Jangan jadi Pak Kaduk...menang sabung kampung tergadai.

Sunday, June 26, 2011

Kehilangan

Masih belum dapat menyesuaikan kehilangan ini, Rutin minggu membawa mak ke pasar membuatkan aku terasa ada sesuatu yang hilang dalam jadual hidupku. Sehingga aku hampir mendail nombor tersebut untuk bertanya...."minggu ini mau ke pasar hari sabtu atau hari ahad"?

Kita akan menyedari rasa kehilangan apabila orang tersayang sudah tiada. Walaupun kita sedar bahawa pergi itu pasti. Walaupun kita redha. Tetapi perasaan kehilangan itu perlu masa untuk pulih.

Kini aku harus semakin mencari. Mencari ada yang berada antara ada dan tiada....

Wednesday, June 22, 2011

Pergi tak kembali

Hari ini genap 6 hari mak pergi. Pergi yang tak akan kembali. Pergi menemui penciptanya.

Kami redha. Dan kami tahu mak pun redha. Mak seakan akan tidak sabar untuk bersama dengan arwah ayah, Bang Man dan kak chik. Mak juga sentiasa menyebut tentang mati. Mak selalu menyebut bahawa dia tidak mahu menyusahkan anak anak. Mak enggan tinggal dengan kami. Ya. Mak tidak menyusahkan kami dan dia memilih hari yang baik untuk kembali kepada penciptanya. Hari yang orang sedang bercuti.

Aku menerima dugaanMu Ya Allah. Pada saat dan ketika aku diperlukan dan dicari, aku 'hilang'. Sehingga gagal dikesan. Aku dihijab seketika. Dan aku tidak akan bertanya mengapa. Kerana aku tahu tidak Kau jadikan sesuatu itu dengan sia-sia.

Tenanglah di sana mak. Kami redha. Kami panjatkan doa agar roh mak ditempatkan dikalangan orang yang beriman. Di berikan rumah yang lebih baik dari yang ditinggalkan. Rehat dengan tenang sehingga kami pula dipanggilNya.

'Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kamu kepada pencipta mu dalam keadaan yang redha dan diredhaiNya. Masuklahlah kedalam kumpulan hamba-hambaKu yang bahagia. Masuklah ke dalam SyurgaKu.

Al Fatihah buat Allahyarhamah Hajah Halimah bt Bachik (1 September 1922 - 18 Jun 2011)

Thursday, June 16, 2011

Persahabatan

Mencari erti persahabatan amat payah. Ada persahabatan yang berbentuk parasitik. Ada yang berbentuk simbiosis. Ada juga yang kosong. Tak bermakna.

Kata arwah ayah ada kawan untuk minum kopi, ada kawan di jalanan sahaja. Dan yang paling baik ialah kawan yang boleh di bawa balik ke rumah. Tapi amat payah untuk mengenal pasti yang mana satu untuk minum, yang mana untuk d jalanan dan yang mana boleh diajak ke rumah.

Ada kawan yang makan kawan. Menikam dari rusuk ketika sedang bersaing. Ada yang benikam dari belakang jika dia tertinggal di belakang. Dan ada yang memijak kita bila dia dah di atas.

Tapi adayang sanggup mati untuk kita. Alhamdulillah dalam pencarian aku, ramai kawan yang telah ku angkat menjadi sahabat. Yang sanggup mendengar keluhanku walau mereka sendiri dihimpit pelbagai masalah. Sanggup meladeni karenahku. Dan sanggup membantu aku walaupun hanya dengan kata sokongan.

Terima kasih sahabat. Dan alFatihah untuk beberapa sahabat ku yang telah pergi menemui penciptanya. Tenanglah kamu di sana sahabat. Moga kamu semua ditempatkan di kalangan orang yang beriman, InsyaAllah.

Sunday, June 12, 2011

Optimis

Menurut pakar saikologi optimis adalah sikap yang boleh dipelajari. Kerana optimis membantu untuk kita bangkit semula. Selepas jatuh. Untuk meneruskan ikhtiar mencari kehidupan.

Arwah ayah bukan ahli saikogi. Malah tak pernah bersekolah. Tapi arwah selalu pesan "Mat, berapa kali jatuh tidak penting, tetapi berapa cepat kau bangkit semula selepas jatuh itu yang penting"

Dalam mencari kehidupan aku jatuh berkali-kali. Aku pernah imsonia teruk, hanya tidur beberapa jam selepas subuh. Pernah kecewa. Tetapi setiap kali aku jatuh aku ingat pesan arwah ayah. Dia pernah kaya suatu masa dulu. Tetapi masa Jepun semua kekayaan keluarganya hilang. Tetapi dia bangun semula. Dia berjaya mendewasakan kami lapan orang anaknya.

Hari ini bila aku jatuh, aku tidak perlu baca buku buku cepat kaya atau jutawan segera. Aku hanya perlu bayangkan wajah arwah ayahku.

Al Fatihah untuh Allahyarham Kasah Hj Mat Yassin. Semuga rohmu ditempatkan di kalangan orang yang beriman...1904 - 1982.

Tuesday, June 07, 2011

Impian

Kata Martin luther King " I have a dream"

Dan setiap kita punya impian. Untuk bahagia. Berjaya. Berharta. Berkeluarga. Dan kita sering tersepit antara impian dan angan-angan. Kerana kita tidak tahu bila angan-angan bertukar menjadi impian. Bila impian bertukar menjadi cita-cita. Atau bila impian bertukar menjadi igauan.

Kita tidak pernah impikan derita. Walau kita gagal untuk menyediakan satu perancangan untuk berjaya kita tidak samasekali merancang untuk gagal. Tetapi kegagalan adalah sebahagian dari proses untuk berjaya. Walaupun ada masanya dalam proses itu kita tidak berjaya. Dan impian...kadang-kadang tinggal impian. Lebih mengerikan bila impian bertukar menjadi igauan.

Aku ada satu impian. Dan aku telah habiskan sebahagian dari hidupku untuk menjadikan impian ini satu kenyataan. Menjadikan impian ini kenyataan adalah karieer dan perjalanan hidupku. Walau payah. Dan sering di perlekehkan. Namun impianku tidak akan terpadam. untuk menjadikan negara ini bersih dari sebarang bentuk rasuah. Payah bukan?

Percayalah. Sekali kita impian kita terhenti, pasti ia menjadi igauan. Marilah bersama kita impikan sebuah negara yang bebas dari rasuah.

"Dreams must not die, though they might fade away".

Sunday, June 05, 2011

Ujian

Ujian datang pelbagai. Ada yang diuji dengan susah. Dengan sakit. Dengan kemiskinan. Dengan kemewahan. Kesenangan. Dan pelbagai lagi. Dan kita tidak tahu samada yang kita terima itu rahmat atau fitnah. Kerana kadang-kadang kita lupa. Terutama apabila kita diuji dengan kesenangan dan kemewahan.

Kalau diuji dengan kesakitan atau kesusahan sebenarnya lebih mudah. Kerana kita akan mengeluh "Ya Allah, Ya Allah" bertalu talu. Menyebut nama tuhan. Mengeluh "SubhanaAllah"...memuji tuhan. Dan ini baik buat kita.

Tapi kalau diuji dengan kemewahan dan kesenangan? Yalah kalau BMW atau Merc kita digesel orang..Wattafak..Sh#t...O.M.G...dan berbagai lagi yang terlafaz. Akhirnya kita yang rugi.

Ini untuk mengingatkan diri sendiri. Keretaku bukan BMW aatau Merc tetapi aku tetap sayangkannya. Dan bila ia digesel oleh seorang insan yang lari tanpa rasa tanggungjawab untuk beritahuku, aku sedar bahawa aku sedang diuji.

Alhamdulillah tuhan, aku masih bisa mengucapkan Alhamdulillah apabila melihat keretaku. Aku bersyukur kerana kau uji aku tetapi kau persiapkan aku untuk menerima ujian kecil ini..

By the way, agak-agak BMW ada tak yang aku mampu?

Tuesday, May 03, 2011

Sumpah II

Dulu aku catat tentang sesumpah. Tapi aku bukan sesumpah. Hanya cicak. Dan kata perumpamaan yg tak seumpamanya, ibarat cicak di celah pintu, ditutup tersepit dibuka pun tersepit.

Kini sumpah tak berapa menakutkan. Sumpah ibu sitanggang jadi batu. Mungkin Batu Caves? Sumpahlah berapa kali pun kalau tiada rasa takut kepada Allah apa lah maknanya. Tapi yang lebih menghairankan kala takut untu bersumpah. Itu pelik.

Aku? Sumpah aku tak pernah bersumpah. Eh pernah kut. Sumpah depan pesuruhjaya sumpah bila dompet ku dicopet..tapi itu boleh kirake?

Sumpah aku tak tahu..

Friday, April 22, 2011

Tiada Tajuk

Seminggu yang berlalu ini banyak kisah. Yang dapat, yang jumpa, yang hilang dan pasti yang masih mencari.

Kisah yang dapat adalah lumrah. Tetapi adakalanya ia adalah tragedi kerana aku masih ingat kata seorang pujangga.  "2 tragedi dalam kehidupan ialah mendapat apa yang kamu mahu, dan tidak mendapat apa yang kamu mahu". Lama baru aku faham maksud kata pujangga ini. Itu sebab agaknya dia pujangga dan aku bukan.

Mendapat apa yang kamu mahu adalah tragedi? Lama baru aku faham. Namun agak susah untuk aku memberi kefahaman tersebut kepada mereka. Tunggulah satu masa nanti mereka akan faham sendiri. Sangkaan bahawa hanya tidak mendapat apa yang kita mahu saja adalah tragedi sebenarnya silap. Mendapat apa yang kita tidak mahu, itu rezeki waimma baik atau buruk.

Yang hilang. Itu bukan tragedi. Itu hanyalah sebahagian dari kehidupan. Ujian mungkin. Untuk melihat ketabahan menghadapi suatu kehilangan. Kekuatan untuk mencari atau membina semula sesuatu yang hilang.

Yang mencari. Ada yang jadi gila dalam pencarian. Aku juga hampir hilang diri mencari aku. Rupanya mencari aku tiada kesudahannya. Kini aku tidak lagi mencari aku, tapi aku masih mencari. Mencari ada yang berada diantara ada dan tiada.

Thursday, April 21, 2011

Anak

Melihat airmata ibu dan ayah menitis ketika jasad anak itu disemadikan amat menyentuh perasaan. Anak yang terpaksa dizahirkan ketika umurnya baru 7 bulan hanya sempat bernafas cuma 4 hari. Amat berat siibu hendak melepaskan anaknya dari dakapan ketika bilal ingin menyempurnakan jenazah bayi tersebut.

Melihat anak tersebut dimandi dan dikafankan meruntun hati. Beberapa lelaki brutal yang hadir sama gagal menyembunyikan airmata yang berkaca, walau cuba menunjukkan wajah yang ganas.

Wahai insan...anak ini merupakan anugerah tuhan. Tapi masih ramai yang menghumban permata kecil ini ke longkang dan tong sampah. Sedangkan masih ramai yang berdoa dan saban hari mengharap dipilih Allah untuk menerima anugerah ini.

Setengah abad hidupku, hari ini aku masih belajar perkara yang baru!

Thursday, March 31, 2011

Kata 2

jika tiada yang baik untuk kamu katakan, jangan berkata dan lebih baik diam. Pesan arwah ayah saya.

dan malam tadi saya benar-benar mengerti maksudnya. kadang-kadang kita hanya berkata sebab perlu berkata. tanpa memikirkan implikasi kata kita. mungkin masa berkata minda belum mula berkerja. akhirnya kata yang keluar hanya berupa nista. buka kritikan membina. bukan juga cadangan intelek. walaupun kita kononnya mengaku intelek.

dan kata kita itu menggambarkan kita. apa yang kita kata, itulah kata. dan ingat, kata kita akan membuat orang ingat pada kita. maka diri, diri ini, diri sendiri, ingatlah sebelum berkata.

katanya, keep it simple, stupid, saya ingat dan saya tafsir. thank you sir.

Wednesday, March 30, 2011

Kata.

Kadang-kadang banyak yang hendak dikata tapi tak terkata. Bila kita takut ada yang terluka dan marah dengan apa yang hendak dikata, Walaupun kita kata sebab nak bagi jadi lebih baik. Lebih bagus. Tapi masih tak terkata,

Kadang-kadang pula sengaja suka mengeluarkan kata-kata walaupun minda belum mula bekerja. Akhirnya kata-kata yang keluar hanya berhasil untuk melukakan. Bukan membaiki. Bukan membina.

Itulah ada masanya lebih baik diam. jangan berkata, berkatalah hanya bila minda dah mula bekerja. berkatalah demi untuk membina.


Entahlah...tak tahu apa nak kata.

Sunday, February 13, 2011

Berkelana di Kota Singa

Sekian lama tak berkelana aku diarah ke Kota Singa. Kali terakhir ke sini 18 tahun yang lepas. Malam pertama aku dak mula terasa lama sedangkan ada 13 malam lagi aku di sini. Mungkin diusia ini rumah sahaja tempat yang paling selesa.

Terasa terasing dan sunyi.

Wednesday, February 09, 2011

Setengah abad.

Setengah abad ku mencari.

Bukan itu yang ku cari. Tetapi jika itu yang ku temui maka akau mesti menerimanya. Kerana mungkin mengupas makna ini akan membuahkan hasil. Memudahkan pencarian.

Setengah abad merupakan satu waktu yang panjang. Aku lelah dalam pencarian ini. Kadang-kadang lemas dalam mencari makna dalam kata. mencari erti sebenar setengaha abad ini.

Namun..selagi nafas Mu ku hela, aku mesti meneruskan pencarian ini.

Tuesday, January 04, 2011

Meneruskan Pencarian

Tahun baru. Penuh keghairahan dengan azam dan semangat baru. meneruskan pencarian.

Lumrah kehidupan pencarian tak semesti berakhirnya dengan penemuan yang memuaskan. Kadangkala pencarian juga berakhir dengan kegagalan. Apabila yang ditemui tidak sebagaimana yang diharapkan. Dan yang lebik ironiknya kita pun tidak pasti apa sebenarnya yang kita cari. Maslow gagal menerangkan apa itu puncak pencarian  'self actualization'  dalam Theory of Needs dan meninggalkan kita dengan satu persoalan untuk kita renungkan.

hampir separuh abad umurku dan aku masih dalam pencarian. Dan aku jadi tidak pasti samada yang ku cari benar yang ku inginkan. Akirnya aku meletakkan pengharapan. Bukan mencari yang ada. Berhentilah mencari yang tiada. Aku mahu meneruskan pencarian...mencari ada yang berada di antara ada dan tiada.

Saturday, January 01, 2011

Awal

berakhir sepuluh menyambut sebelas
menjijit harapan dan amanah yang digalas
memasung nafsu walau agak payah
untuk menyambung pencarian.

semalam akan berlalu sahaja
tanpa faedah, jika sejarah tidak kujadikan guru
mencorak esok yang belum tentu.

berpaksi ilmu berpegang kata tuhan
walau kata hati banyak mencelarukan halatuju.

semoga aku tidak sesat dalam pencarian ini.