Thursday, December 26, 2013

Padam tak padam api itu....

Ketika 2013 hampir melabuhkan tirainya, genaplah 28 tahun melaksanakan tanggungjawab untuk mencegah rasuah. Suatu tanngungjawab dan amanah yang amat berat. Mungkin bukan pilihan utama satu masa dulu, tetapi bersyukur kerana terpilih untuk melaksanakannya. Mudah diucap tetapi amat payah untuk dilaksanakan. Ramai yang kata benci rasuah, tetapi mereka masih sayang perasuah, masih mengagungkan perasuah. Rasuah bukan pihak atau puak atau politik. Rasuah adalah jenayah. Rasuah adalah kesengsaraan. Dan fitrah manusia adalah suka kepada benda yang disogokkan. Itu fitrah. Itu janji. Sebagaimana firman Allah dalam surah AlImran...' Dan dijadikan kecintaan dalam diri manusia kepada benda yang disukai oleh hawa nafsu iaitu wanita-wanita, anak pinak, harta dari emas dan perak yang bertimbun timbun, kuda yang bertanda lagi terlatih, kebun-kebun, tanam. Tanaman dan bintang ternakan....'. Dan inilah benda yang ditawarkan. Rasuah juga adalah mengenai kuasa, yang tiada kuasa bisa menjerit tentang rasuah. Tetapi ujian sebenarnya adalah bila mendapat kuasa. Rasuah adalah mengenai peluang dan keinginan. Jika ada kuasa, maka datanglah peluang. Dan hanya keimanan dan taqwa yang akan mengekang keinginan. Dalam menjalankan tugas, kami dikecam, dimaki dan dituduh pelbagai. Diperlekehkan kerana dikatakan hanya sebagai alat pihak tertentu. Amat sayu rasa hati. Boleh membunuh semangat. Sehinggalah teringat pesanan guru-guru tentang kisah seekor burung kecil yang membawa air dalam paruhnya untuk cuba memadamkan api yang membakar Nabi Ibrahim. Ketika burung kecil tersebut diperlekeh oleh burung lain dan ditanya adakah dia menyangka air dalam paruhnya bisa memadamkan api yang membakar nabi Ibrahim, burung kecil tersebut menjawab "padam tak padam api tersebut bukan kerja aku. Itu kerja Allah. Aku hanya melaksanakan tugasku kerana aku takut jika ditanyaNya nanti apakah usahaku untuk membantu Nabiku" Padam tak padam bukan kerjaku...aku hanya takut jika ditanya adakah aku telah berusaha.? Allahuakbar, berilah kami kebijaksanaan, kekuatan dan kesabaran.