Wednesday, November 14, 2012

Yang akan pergi dan yang mendatang

Tidak sedar berapa banyak redha dan berapa banyak murka. Yang akan dibawa oleh yang akan pergi. Malu untuk dihitung. Namun perlu juga dilaksanakan. Pada senja terakhir ini. Berapa banyak tegahan yang dilanggar, berapa banyak suruhan yang dipatuhi. Namun atas sifat kasih sayang dan kelembutanMu, aku tetap memohon. Agar yang mendatang bawa kekuatan. Bawa perubahan. Supaya lebih dekat padaMu. Sebagaimana aku mendekati pitu kuburku.
Berapa banyak yang aku lakukan dari yang Kau tegah. Dan tak sempat pun aku mohon taubat dariMu. Walau Kau tidak redha dan tak pernah Engkau lupakan. Dan kau sentiasa berlemah lembut kepada aku, walau Kau berkuasa menyiksa ku, malah Kau senantiasa memberi aku peluang. Untuk memohon. Untuk meminta. Untuk bertaubat. Dan tidak sekali-kali Kau meninggalkan aku. Ku pohon keampunanMu. Janganlah kau biarkan aku. Dimanalah lagi, dapat ku rebahkan, rasa resah ku ini?
Yang baru, aku pohon dariMu kekuatan untuk melakukan kerja yang kau redhai,dan yang mendekatkan aku kepada MU dan beri juga aku kekuatan untuk menjauhkan dari yang Kau Tegah, peliharalah aku dari godaan syaitan, pembantunya, bala tenteranya. Peliharalah aku dari menzalimi diriku. Dau Kaulah yang maha berkuasa untuk mengubah. Terima lah yang baik dari ku, ampunkan keterlanjuran ku. Terimalah!

Tuesday, September 11, 2012

Mencari sebuah makna.

Dalam mencari makna kita bangga bergelar bernama kita mengumpul segala angka dan aksara dan kita susun membentuk kata atau sebuah arca. Kitalah yang selalu merasa bahawa kita kukuh, faham segala kosa kata mahupun segala cogan dan jata, bijak mengatur wacana. Sedangkan kita rapuh dan sering lemas dalam kata-kata dan selalu terpedaya dan mudah terkesima. Malah selalu berburuk sangka. Dalam mencari makna kita sering lupa kita dari tiada, sekejap sahaja ada, dan akan tiada semula. Setelah kering tangis, dan layu bunga kemboja, entah ada entah tiada yang mengirimkan doa. Takut-takut hanya kata nista, umpat fitnah yang mengisi ruang sempit sementara menunggu kita dibangkitkan semula!

Wednesday, August 08, 2012

Menyusuri Akhir Ramadhan.

Ibarat perjalanan dua pertiga jarak telah ditempuhi, dan tiggallah sepertiga lagi. Tiada kepastian laluan yang ditiggalkan dapat dilalui semula, jika diizinkanNya di tahun Hijrah yang lain pula.Di musim yang bakal mendatang, jika ada lagi rezekiNya untuk kita. Seperti musafir yang berkelana, setiap laluan ada onak, duri dan ranjaunya. Ada kisah pahit dan manisnya. Ada kenangan indah dan buruknya. Yang dikumpul dalam perjalanan adalah dosa dan pahala.Antara pengajaran dan pengalaman atau sekadar penat dan lelah, lapar dan dahaga. Menahan makan dan minum sahaja atau melatih zahir dan batin, rohani dan jasmani, isi dan kelongsongnya. Kerinduaan memuncak disaat akhir sepertiga perjalan. Rindu pada zaman remaja yang telah ditinggalkan, muda yang takkan kembali. Rindu pada orang tersayang yang telah pergi, saat roh mereka amat dekat dengan kita, atas keizinanNya. Rindu pada Tuhan dan KekasihNya. Rindu pada hari kembali kepada penciptanya. Jika diizinkanNya dalam keadaan jiwa yang mutmainnah. Jiwa yang tenang. Dalam keadaan redha. Dan diredhai. Sesungguhnya rindu itu amat dalam. Namun melestarikan kerinduan itu amat payah....

Thursday, July 26, 2012

Menyusur Ramadhan



Usai 6 hari berpuasa, terasa masa semakin pantas. Sedih dengan cerita pembunuhan saudara seagama di pelbagai negara, terasa amat sayu. Melihat manusia diperlaku lebih buruk dari binatang. Pun begitu kita disini merasa bahang yang lain.  Bahang pilihanraya dan segala cerita gelora yang datang bersama. Begitu juga pertikaman lidah dan mujadalah yang semakin berterusan. Telah menjangkiti ke warga bukan politik. Warga artis. juga warga media sosial. Dan medan interaksi sosial juga menjadi wadah pertikaman. Dan memisahkan saudara. Memisahkan sahabat.

Hidup perlu diteruskan. Kadang kadang, hanya doa yang dapat dipanjangkan. Kerana ada masanya kita tidak mampu buat yang lebih dari itu. "Mintalah, dengan sabar dan bersolat..." Tiadalah daya kita, tanpaNya.
Dan yang pasti, sebaik mana kita merancang, Dialah sebaik-baik perancang dan pelaksana.

Salam jumaat sahabat. Semoga kita diberi kesempatan menamatkan sepuluh rahmat. Menyusuri sepuluh kemaafan. Dan menutupnya dengan 10 pembebasan dari api neraka. Jika ada kesempatan untuk kita kali ini. InsyaAllah.



Thursday, July 19, 2012

Marhaban Ya Ramadhan

Alhamdulillah...bertemu semula Ramadhan...yang Allah janjikan pengampunan , rahmat dan pembebasan dari api neraka. Yang Allah janjikan bahawa segala perbuatan baik kita ibadah, waimma tidur sekalipun. Peluang yang hanya diberikan sekali setahun....dan yang pasti kita tidak tahu samada akan bertemu semula tahun yang akan datang.

Dan seperti biasa bulan ini mengusik nostalgia. Kepada zaman remaja, zaman belia dan kini dalam kedewasaan remaja purba. Dan roh mereka yang kita sayangi membayangi kita. Mengusik memori saat manis ketika mereka masih bersama kita. Ayah, ibu, saudara yang telah pergi menemui penciptaNya. Yang dibenarkan kembali menjenguk kita.

Beruntunglah mereka yang masih dapat bersahur dan berbuka dengan ibubapa mereka. beruntunglah mereka yang masih dapat mendengar gelak ketawa dan berkongsi cerita suka duka orang tua mereka.

Bagi yang telah tiada, jangan berduka. Kongsilah kasih sayang mereka. dengan doa yang tidak putus-putus. kerana tanggungjawab anak tidak akan putus sehinggalah mereka menghembuskan nafas terakhir.

"Ya Allah, ampunkanlah dosa kedua ibubapa kami, dan kasihanilah mereka, sebagaiman mereka mengasihani kami semasa kami masih kecil. Tempatkanlah mereka di kalangan orang yang soleh dan orang yang Engkau kasihi"

AlFatihah untuk Allahyarham Kasah bin Hj Mat Yassin (12.9.1982) dan Allahyarhamah Halimah binti Bachik (18.6.2011)

Wednesday, June 13, 2012

Maafkan.

Aku, maafkan kamu, tak perlu kita bertemu, cukup kau tahu, yang aku, maafkan kamu...............(Jamal Abdillah)

Memang agak payah untuk memaafkan. Kerana ia lebih mudah diucapkan dari dilaksanakan. Kerana hati kecil akan sentiasa mengungkit. Mengenang kembali. Bagai pita yang sentiasa di mainkan semula. Dan semakin ditonton semakin hati membengkak. Semakin nafsu amarah minta pembelaan. Pembalasan. Membibitkan benih dendam.

Dan dendam menjadi semakin berat. Menjadi bagasi yang dipikul sepanjang masa. Dibawa kemana jua. Sedang yang didendami tak pun merasa apa-apa. Yang mendendam? Sentiasa mengheret bagasi sia-sia dendam yang saban hari bertambah berat.

Kena belajar memaafkan. Kena belajar melepaskan bagasi sia-sia yang sebenarnya tak perlu dibawa. Kena belajar melupakan. Jangan mainkan pita-pita kenangan. Aku perlu belajar mengira keuntungan yang dianugerahiNya dan melupakan yang pahit. "Count my blessing, forget my mishaps".

Tapi rupanya yang paling payah ialah untuk memaafkan diri sendiri!

Thursday, April 12, 2012

Katak Melalak.

Ada teratak di hujung kampung,
Bawah cermin kopak ada kotak,
Tersembunyi dalamnya tempurung,
Sembunyi bawahnya katak melalak.....aku maafkan kamu. Jamal Abdillah.

Terlalu dalam maknanya. Yang tersurat amat mudah. Sehinggakan anak kecil bisa menyanyikannya sambil leka mengejar bola. Bola yang mula kempis. Atas padang yang tak berapa subur rumputnya. Padang yang akan di bangunkan gedung besar. Buat memberatkan lagi poket para kapitalis.

Pun begitu kisah Jangan Ambil Padang Kami hanya simbolik. Bukan hanya padang. Kebun kami. Hatta kubur nenek moyang kami. Demi pembangunan. Demi perbandaran. Dan pelbagai lagi demi dan demi. Dan kita hanya mendengar hujah lama...tak apalah, ini semua untuk masa depan kita juga. Sedang kita semakin terpinggir. Terpinggir ke hujung kampung. Dan akhirnya kita juga akan jadi terus tersembunyi. Seperti tersembunyinya katak dalam lagu itu. Dan kita juga pasti akan melalak. Tetapi lalakan kita telah terpinggir jauh. Takut tak siapa lagi yang mendengar.

Dan katak melalak akan akhirnya mati kepenatan. Bawah tempurung yang tersembunyi dalam kotak dibawah cermin kopak teratak buruk. Nun. Di hujung kampung!

Tuesday, February 14, 2012

Senja

Apabila ketaksuban meningkat, kita perlu mencari punca ketaksuban. Aku kini taksub pada wajah senja. Menghabiskan masa memotretkan wajah senja. Mencari wajah senja dari pelbagai sudut. Memerhati dan cuba mengkaji senja. Menikmati pengukiran cahaya pada wajah senja dari pelbagai sudut dan punca.

Dan apabila aku jadi taksub pada senja, aku mula mencari punca. Punca ketaksuban. Dan mula membuat andaian , hanya berbentuk hipothesis tanpa pembuktian yang empirikal. Bahawa ketaksuban berlaku kerana perjalanan hidup, ibarat perjalanan matahari. Bermula dengan subuh, syuruk, tengahari, petang dan senja sebelum ia ditelan kegelapan malam. Maka hidup ini rupanya telah mula menghampiri senja. Perlahan-lahan cahaya semakin mula hilang dan bakal ditelan kegelapan malam. Begitu juga dengan perjalanan hidup.

Kata seorang sahabat, apabila kita mula bercerita terlalu banyak tentang masa muda, maka masa muda itu telah  mula menghilang. Itu pasti. Yang tak pasti ialah bila senja berakhir. Bila malam mula melabuhkan tirainya.

....dan aku masih mencari titik waktu itu..

Monday, January 30, 2012

Pantas

Sehari sahaja lagi tamatlah Januari 2012. Masa berlalu pantas. Terlalu pantas. Agaknya kerana sisa usia semakin sedikit. Dan semakin terasa kekurangan. Kurang bersyukur atas apa yang dianugerahiNya. Atas apa yang dipinjamkannya. Demi kasih Khaliq kepada ciptaannya.

Dalam kepantasan ini dunia dikejutkan dengan pelbagai bunyi aneh. Dan semakin hari semakin menghampiri kita. Dan semakin banyak teori dan andaian. Sememangnya Allah menjanjikan kiamat. Dan kita terlalu asyik mengkaji tanda awal dan tanda akhir kiamat kubra. Sehingga kita lupa kepada kiamat kecil yang berlaku saban hari.

Apakah tanda kiamat kecil? Apabila sisa nafas semakin sedikit. Apabila qudrat yang dipinjamkanNya diambik balik sedikit demi sedikit. Apabila yang hitam semakin putih. Yang terang semakin kabur. Akan datanglah kiamat kecil apabila tiba waktunya. Mengikut janjinya yang tertulis di Luh Mahfuz, tidak tertolak ia walau sedikit. Mati adalah kiamat kecil, dan pasti berlaku keatas setiap yang bernyawa. Dan kiamat inilah yang paling hampir, dan tandanya paling jelas.

Dan aku memohon agar terpelihara dari sakit menghadapi gelombang Sakaratul Maut apabila tiba kiamatku. Aku bermohon agar tidak terpedaya dan terpesong di saat akhir ku. Aku memohon dari Mu yaAllah, agar berilah aku Husnul Khatimah. Amin.

Friday, January 20, 2012

Sisa

Telah berlalu 20 hari dalam tahun 2012. Dan baru ini menjenguk ke ruang ini. Dalam menghabiskan sisa nafas yang masih ada. Alhamdulillah masih ada rezeki tuhan buat ku di bumiNya ini.

Sempat menyaksikan pelbagai isu dan pergunjingan. Yang kanan melompat ke kiri. Dan yang kiri melompat ke kanan. Yang bersorak menang tapi kampung tergadai. Yang menangis kalah maruah tergadai. Yang bersorak baju terkoyak kemaluan ternampak. Kalau yang kena pada kita, kita kata hakim bebas, kalau tak puas hati kita kita kata hakim terbatas. MasyaAllah.

Yang menjerit mencemuh tapi bila terkena diri sendiri rasa nak membunuh. Dan paling mudah kita menyalahkan pihak yang lain. Dan manusia sentiasa menyalahkan iblis yang menariknya ke neraka, sehinggalah iblis menempelak menegaskan manusialah yang membuatkan mereka tercampak keluar dari syurga!

Kata kawanku mencari kedamaian ialah dengan tidak menghukum atau melabelkan sesuatu kejadian kerana pasti pengalaman dan perasaan kita mempengaruhi keputusan kita. Itu yang dia belajar dari orang pandai bijaksana. Kata aku, aku tidak tahu.

Kerana aku masih mencari makna kedamaian. Masih. Mencari.