Thursday, December 26, 2013

Padam tak padam api itu....

Ketika 2013 hampir melabuhkan tirainya, genaplah 28 tahun melaksanakan tanggungjawab untuk mencegah rasuah. Suatu tanngungjawab dan amanah yang amat berat. Mungkin bukan pilihan utama satu masa dulu, tetapi bersyukur kerana terpilih untuk melaksanakannya. Mudah diucap tetapi amat payah untuk dilaksanakan. Ramai yang kata benci rasuah, tetapi mereka masih sayang perasuah, masih mengagungkan perasuah. Rasuah bukan pihak atau puak atau politik. Rasuah adalah jenayah. Rasuah adalah kesengsaraan. Dan fitrah manusia adalah suka kepada benda yang disogokkan. Itu fitrah. Itu janji. Sebagaimana firman Allah dalam surah AlImran...' Dan dijadikan kecintaan dalam diri manusia kepada benda yang disukai oleh hawa nafsu iaitu wanita-wanita, anak pinak, harta dari emas dan perak yang bertimbun timbun, kuda yang bertanda lagi terlatih, kebun-kebun, tanam. Tanaman dan bintang ternakan....'. Dan inilah benda yang ditawarkan. Rasuah juga adalah mengenai kuasa, yang tiada kuasa bisa menjerit tentang rasuah. Tetapi ujian sebenarnya adalah bila mendapat kuasa. Rasuah adalah mengenai peluang dan keinginan. Jika ada kuasa, maka datanglah peluang. Dan hanya keimanan dan taqwa yang akan mengekang keinginan. Dalam menjalankan tugas, kami dikecam, dimaki dan dituduh pelbagai. Diperlekehkan kerana dikatakan hanya sebagai alat pihak tertentu. Amat sayu rasa hati. Boleh membunuh semangat. Sehinggalah teringat pesanan guru-guru tentang kisah seekor burung kecil yang membawa air dalam paruhnya untuk cuba memadamkan api yang membakar Nabi Ibrahim. Ketika burung kecil tersebut diperlekeh oleh burung lain dan ditanya adakah dia menyangka air dalam paruhnya bisa memadamkan api yang membakar nabi Ibrahim, burung kecil tersebut menjawab "padam tak padam api tersebut bukan kerja aku. Itu kerja Allah. Aku hanya melaksanakan tugasku kerana aku takut jika ditanyaNya nanti apakah usahaku untuk membantu Nabiku" Padam tak padam bukan kerjaku...aku hanya takut jika ditanya adakah aku telah berusaha.? Allahuakbar, berilah kami kebijaksanaan, kekuatan dan kesabaran.

Tuesday, June 11, 2013

Subur.

Beberapa episod penting dalam hidup. Mencorakkan peribadi dan membentuk jati diri. Bukan mahu menyalahkan keadaan tetapi inilah hakikat. Anak yang diasuh dengan kasih sayang, akan subur dengan rasa kasih sayang. Lembut hatinya dan mudah tersentuh perasaannya. Kasih sayang yang disemai akan terus subur berkembang. Jika diasuhkan dengan keberanian, yakni menegakkan yang haq dan menentang yang bathil, diajar untuk berkata benar walaupun pahit..InsyaAllah akan ada jati diri yang kukuh. Namun jika diasuh dengan kebencian, pasti sentiasa dihantu kebencian. Jika diasak dengan kritik dan cemuhan, akan jadi rendah diri dan tiada keyakinan. Jika sentiasa diajar bersikap sentiasa tak berpuas hati, mana mungkin memahami perngetian bersyukur. Bagaimana mahu belajar bersyukur kepada Pencipta, jika tidak tahu berterima kasih kepada manusia. Bagaimana mahu rasa bersyukur, kerana cukup tidak pernah akan cukup, walau sebanyak mana sekalipun. Keperluan adalah amat mudah dipenuhi, tetapi apabila ia menjadi kehendak maka permintaan semakin akan meningkat. Kehendak yang gagal dikawal akan membentuk ketamakkan dan nafsu pasti akan menguasai. Kata Mahatma Ghandi " The world is enough for everyone needs, but never enough for one man greed"., Maha Suci Allah, Dia telah menjadikan kecintaan dalam diri kita kepada perkara yang disukai oleh hawa nafsu, yakni ister-isteri dan anak pinak, harta dari emas dan perak yang bertimbun-timbun, kuda yang bertanda lagi terlatih, kebun tanaman dan ladang-ladang berserta ternakan....yang akan sentiasa menjadi episod menguji keimanan kita.Menguji integriti kita. Tuhan, berilah aku kecukupan sehingga aku tidak perlu meminta-minta.

Thursday, March 14, 2013

Musim

Musim buah dah lama berlalu. Tapi durian masih banyak dijual di pingir jalan. Seperti dah tak bermusim. Begitu juga jemputan kahwin, tak lagi bermusim seperti dulu. Hanya lebat masa cuti penggal. Salji masih turun di sesetengah tempat yang sepatutnya dah bertukar musim. Macam dah tak bermusim.kalau kat tempat kerja, sekarang musim transformasi, semuanya nak ditransformasi. Sampaikan iklan kat tepi jalanberbunyi TRANSFORMASI ALAM TIDURMU, TILAM LAMA TUKAR BARU! Amboi! ............................................................... Kita pun sedang dilanda muim. Musim melempar dan melontar. Segala tohmahan dan tuduhan. Yang kiri lempar ke kanan dan yang kanan lempar ke kiri. Dan kita seperti menonton perlawanan tennis, menunggu return yang volley atau yang backhand mahupun drop shot. Berbeza dengan tennis penonton hanya boleh menyorak, dalam musim melempar tuduhan dan tomahan, penonton yang lebih menyambung lemparan dan tuduhan, waiimma dari kiri maupun dari kanan. Walaupun kadang-kadang kita tak tahu yang kiri betul atau yang kanan betul. Hanaya pemain dan tuhan sahajalah yang tahu. Nauzubillah, jangan kumpul dosa penyebar, kecuali yang kita sampai itu kita yakini benar, jangan takut, Allah telah janji apabila tiba yang haq, yang bathil pasti akan gugur. Bila? Dia tahu bila yakni bila kita sendiri telah bersedia. ................................................................................................................. Yang satu lagi ni tak bermusim. Dia datang bila bila masa. Yakni bila sampai masa dan ketentuaannya. Iaitu mati. Takut tengah sibuk lempar melempar kita terpanggil. Tak sempat minta maaf kepada yang dilempar. SubhanAllah. Mohon kita bukan dari golongan tersebut. ............................................................................................... Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kamu kepada tuhanmu dengan keadan yang ridha dan diridhai. Dapatkah?

Tuesday, January 29, 2013

Baru..

Terlalu lewat untuk mengucap Selamat Tahun Baru...yang dah hampir ialah Tahun Baru Cina. Namun, seperti juga nyawa yang semakin sampai ke penghujungnya, kita masih rasa baru semalam kita lalui. Segala susah senang, sedih gembira, pahit manis rencah kehidupan. Yang pasti kelansungan hidup perlu diteruskan. Walau terasa tahun masih baru, 2 orang sahabat baru sahaja pergi. manjawap panggilan Ilahi. Menemui Penciptanya. Semoga Allah mencucuri Rahmat keatas roh mereka dan menempatkan mereka di kalangan orang yang soleh.
Tahun baru, banyak cabaran baru. Sayangnya masih ada kelekatan lama yang menambat kelansungan hidup. Tentang hati dan perasaan. Masih ada kejengkelan yang merunsingkan. Yang memerlukan kesabaran dan kekuatan. Agar kelansungan hidup ini dapat diteruskan. Teringat kata seorang guru dan sahabat.."hati orang kita kena jaga, hati kita, kita kena pujuk." Namun kadang-kadang daya pembujukkan dah tak mampu menahan hati yang terluka. lari bukan alternatif yang ada. Rasanya usia dan kudrat dah tak memampukan untuk lari. Bertahanlah sahaja alternatif yang ada. Dan akhirnya berpegang kepada FirmanNya...Was tainnu bisobri wassolah..