Tuesday, December 27, 2011

Warna

4 hari lagi tamatlah 2011. Menyorot kembali 361 hari yang telah berlalu. Ada hari manis dan ada hari pahit untuk diingati. Tetapi semuanya mewarnakan kehidupan. Yang dinamakan kehidupan. Tetapi apapun aku bersyukur ke hadrat Mu Ya Allah. Kerana dengan inayah dan limpahMu aku dikurniakan setahun lagi kehidupan.

Warna sedih pertama kehidupan, aku kehilangan ibu yang kusayangi. Dan pada hari yang sama aku terhijab atas KehendakMu. Namun aku bersyukur kerana jalan kembalinya amat mudah. Seperti yang selalu diungkapkan bibirnya. Pergi dengan mudah tanpa menyusahkan anak cucunya. Terima kasih Allah kerana Kau tunaikan permohonannya.

Warna pahit dalam kerjaya. Aku diuji dan hampir tewas dengan keakuanku. Dan aku mohon padaMu. Melalui iktikaf 7 ku untuk kau berikan ku kekuatan. Dan petunjuk. Untuk aku membuat pilihan. Dan aku mohon kesabaran. Kesabaran untuk menundukkan keegoanku. Mengekang nafsu amarahku. Memasung jiwa bongkakku. Alhamdulillah, tempoh payah kulalui walau agak perit dan memberi kesan kepada fizikalku.

2011 hampi melabuhkan tirai. Dan aku bersyukur kepada mu, dipenghujungnya kau warnai kehidupanku dengan warna girang. Bertemu sahabat lama, menghidupkan kembali rumah ibuku yang kaku selama beberapa bulan. Dan anakku menghadiahkan aku dengan kejayaannya. Dan yang paling penting, kau hadiahkan aku dengan isteri yang amat memahami dan anak-anak yang baik. Tiada apa yang lebih perlu kupohon, kecuali Kau letakkanlah kami di bawah lembayung RahmatMu dan sentiasa kau bimbing di atas jalanMu.

ALHAMDULILLAH. Nothing more, nothing less, nothing else.

1 comment:

Anonymous said...

Terharu membaca coretan warna kehidupan yang dilalui - coretan warna duka di awal yang kemudiannya dicalit pula warna2 ceria gembira. Sesungguhnya Allah itu Maha Memahami isi hati hamba2Nya...
Semoga 2012 meneruskan warna2 giran ceria ria ini bersulam kesyukuran berpanjangan padaNYA.